Bau Buku Baharu dan Buku Lama

Mesti ramai yang perasan, tidak kira yang baru atau yang lama, helaian buku akan memberikan bau yang berlainan.

Tahukah anda daripada mana datangnya bau buku ini?

Bauan buku yang berlainan ini adalah disebabkan oleh wujudnya beratus bahan-bahan kimia meruap (volatile organic compounds- VOCs) pada helaian buku. VOCs ini akan sampai kepada deria hidung kita, lalu otak akan mentafsirkan baunya.

BUKU BARU akan memberikan bau yang sangat pelbagai. VOCs dalamnya berasal daripada

• Agen pengikat (binding agent) contohnya ko-polimer vinyl acetate ethylene.

• Bahan yang digunakan dalam pemprosesan pembuatan helaian kertas. Contoh bahan peluntur seperti hydrogen peroxide, dan bahan rintang air seperti alkyl ketene dimer.

• Bahan dakwat seperti methylbenzene, ethylbenzene, xylene, chlorobenzene dan bromobenzene.

BUKU LAMA pula, baunya adalah lebih kepada degradasi bahan kimia yang membentuk struktur utama kertas iaitu cellulose dan lignin.

Cellulose merupakan rantaian molekul polimer utama dalam pembentukan kertas. Manakala lignin adalah molekul pengikat rantaian cellulose secara semulajadi dalam pokok.

Pengoksidaan lignin akan menyebabkan warna kertas bertukar kekuningan dan menghasilkan asid organik yang membantu dalam mendegradasi rantaian cellulose menjadi VOCs yang mempunyai bau pelbagai seperti benzaldehyde dan furfural (bau kacang badam), vanillin (bau vanilla), dan ethyl benzene, toluene dan 2-ethyl hexanol (bau manis dan bunga).

Bau buku juga disumbangkan oleh kombinasi VOCs dalam rosin seperti terpenes dan asid resin. Rosin ini wujud secara semulajadi dalam kayu yang digunakan untuk membuat helaian kertas buku. Disamping bau spora kulat (hapak) pada buku yang disimpan di tempat yang lembap.

Kepelbagaian bau buku baru atau lama adalah bergantung kepada jenis dan jumlah VOCs yang wujud dan kadar pengewapannya yang mana bergantung kepada suhu persekitaran buku.

Nota: Kepekatan VOCs seperti furfural dalam buku boleh digunakan sebagai pengukur usia sebenar buku.

Siapa suka bau buku? 🙋🏻‍♀️

Kredit kepada : FB MajalahSains
Post asal :
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=4482297521843573&id=193202337419801

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Main Menu